Saya tak kisah walaupun Saudara mara saya malu nk mengaku saya saudara mereka- Jamal Yunos

Saya tak kisah walaupun Saudara mara saya malu nk mengaku saya saudara mereka- Jamal Yunos

PETALING JAYA: Datuk Seri Jamal Yunos malam tadi mendedahkan aksinya berkemban di Bangunan Setiausaha Kerajaan Selangor (SUK) dengan hanya tuala pada tubuhnya dalam protes gangguan bekalan air di negeri itu menyebabkan ahli keluarga menanggung malu.

Malah, Ketua Umno Sungai Besar itu berkata, ada ahli keluarganya sanggup tidak mengaku beliau sebagai keluarga kerana tidak tahan dikecam.

“Apabila saya bertuala di SUK, saya dianggap seorang yang gila, tidak siuman,” kata Jamal di program bual bicara politik semasa yang disiarkan secara langsung di Facebook dari pejabat Gabungan NGO Malaysia, Ampang, Selangor.

“Dalam media sosial, bertalu-talu orang maki saya, malah ada dalam kalangan anak buah (anak saudara) saya malu. Mereka tidak mengaku bila orang tanya kenal tak siapa saya. Ada anak buah saya tidak mengaku saya pakcik dia.”

Dalam aksi pagi 21 Disember 2016 itu, Jamal yang terkenal dengan gimik tunjuk perasaan yang unik mengejutkan banyak pihak apabila beliau dengan hanya bertuala serta membawa gayung dan berus gigi berdemo di depan pintu utama Bangunan SUK, berikutan gangguan bekalan air yang serius membabitkan 3.89 juta pengguna di 814 kawasan di Lembah Klang.

Hasrat menumpang mandi di pejabat Menteri Besar Datuk Seri Azmin Ali gagal kerana tidak dibenarkan masuk oleh pihak keselamatan. Beliau turut cuba menghubungi Azmin dan meninggalkan mesej suara untuk menteri besar.

Beliau berkata aksi itu meskipun dikecam ternyata berbaloi kerana kawasan rumahnya di Ampang tidak lagi mengalami gangguan bekalan air yang serius. Menurut Jamal, aksinya itu menarik perhatian hampir 2 juta orang dalam tempoh sesingkat 24 jam.

“Mesej yang saya nak berikan kepada masyarakat: Kerajaan negeri yang sepatutnya menyediakan keperluan asas kepada rakyat telah gagal,” katanya kepada moderator Datuk Dahlan Maamor.

“Sejak itu, sehari selepas bertuala sehingga hari ini, saya tanya jiran-jiran dan mereka kata tiada lagi masalah gangguan air. Boleh pula mereka selesaikan isu air dengan segera.”

Program bual bicara malam tadi membincangkan situasi politik di Selangor serta tadbir urus kerajaan negeri.

loading...

Comments

comments

Powered by Facebook Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *