LANGSUNG: Najib dituduh terima RM42j wang haram

LANGSUNG: Najib dituduh terima RM42j wang haram

Sekali lagi bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak hadir di kompleks mahkamah di Jalan Duta, Kuala Lumpur, kira-kira 10 minit sebelum jam 9 pagi.

Kali ini Najib berdepan tiga tuduhan melibatkan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Akitivi Haram 2001.

Mengikut kertas pertuduhan, Najib didakwa menerima wang berjumlah RM27 juta pada 26 Dis 2014 di AmIslamic Bank Bhd di Jalan Raja Chulan Kuala Lumpur, dan ia adalah hasil daripada aktiviti haram.

Wang itu diterima melalui sistem Real Time Electronic Transfer of Funds and Securities (RENTAS).

Bagi tuduhan kedua pula bekas perdana menteri terbabit didakwa menerima wang berjumlah RM5 juta pada tarikh dan tempat serta kaedah sama.

Tuduhan ketiga pula membabitkan wang berjumlah RM10 juta dan ia berlaku di tempat sama, namun pada tarikh berlainan iaitu 10 Feb 2015.

Bagi ketiga-tiga tuduhan berkenaan anak bekas perdana menteri kedua Malaysia itu didakwa melakukan kesalahan mengikut Sek 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Akitivi Haram 2001

Jika sabit kesalahan Najib boleh dihukum penjara sehingga 15 tahun, denda lima kali ganda daripada jumlah atau hasil aktiviti haram berkenaan, atau RM5 juta mengikut mana yang lebih tinggi.

Malaysiakini membawa laporan secara langsung mengenai prosiding hari ini.

Najib ialah anak bekas perdana menteri kedua Malaysia. Beliau sebelum ini sudah didakwa atas tiga tuduhan jenayah membabitkan pecah amanah dan satu salah guna kuasa sebagai perdana menteri dan menteri kewangan.

LIPUTAN LANGSUNG

11.03am: Najib memasuki mahkamah H dan duduk di kandang tertuduh, manakala anak-anaknya mengambil tempat di kerusi baris kedua galeri awam.

Turut kelihatan ialah pembantu sekali gus setiausaha akhbar Najib Datuk Seri Tengku Sariffuddin Tengku Ahmad.

Kes ini didengar hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali yang menggantikan hakim sebelum ini Datuk Sophian Abdul Razak.

10.36am: Hanafiah meminta supaya kes itu dipindahkan ke Mahkamah Tinggi 3 dan urusan ikat jamin, katanya, wajar dilakukan di situ.

Peguam bela Najib Muhammad Shafee Abdullah turut bersetuju dengan permohonan berkenaan.

Hakim kemudian membenarkan kes itu dipindahkan ke Mahkamah Tinggi 3 hari ini selepas kedua-dua pihak bersetuju mengenainya.

Dijangkakan tiga tuduhan hari ini akan didengar serentak dengan empat tuduhan lain yang sudah dikenakan ke atas Najib sebelum ini.

10.30am: Mahkamah bersidang di depan hakim Datuk Azman Abdullah dengan dimulai pengenalan diri oleh ketua pihak pendakwa Mohd Hanafiah Zakaria, serta peguam bela dan peguam pemerhati bagi pihak Rosmah Mansor.

Hanafiah berkata kes itu dibicarakan di situ selepas dipindahkan dari mahkamah sesyen.

10am: Tiga pertuduhan dibacakan kepada Najib membabitkan penerimaan wang haram berjumlah RM42 juta dalam akaunnya empat tahun lalu.

Wang itu ialah milik SRC International Sdn Bhd.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada Najib, 65, selepas pertuduhan itu dibacakan di hadapan hakim Azura Alwi.

9.40am: Seorang penyokong Najib yang memperkenalkan dirinya hanya sebagai Daniel Goh berkata semasa Najib didakwa kali pertama dulu, tiada sebarang kejadian “di luar kawalan” berlaku.

Justeru kata Goh polis sepatutnya membenarkan mereka memasuki pekarangan kompleks mahkamah hari ini.

“Kami bukan nak ganggu peguam negara. Saya sama sekali tak setuju dengan kata-kata rowdines kamu,” katanya.

Goh berkata demikian semasa menjawab soalan seorang petugas media asing yang mengaitkan insiden pada 4 Julai lalu dengan arahan pihak berkuasa hari ini.

Semasa Najib dituduh untuk kali pertama sekumpulan penyokongnya menjerit-jerit dan memarahi Peguam Negara Tommy Thomas sejurus sebelum dia mengadakan sidang media.

Mereka mengecam Thomas kerana tidak menggunakan bahasa Melayu.

Datuk Lokman Noor Adam dan Ellie Suriaty Omar bersependapat dengan kenyataan Goh.

Kata Ellie mereka hanya bertindak balas terhadap “provokasi” pemimpin DAP, termasuk Menteri Kewangan Lim Guan Eng yang membuat kenyataan media menggunakan bahasa Mandarin.

Apabila dijelaskan kenyataan media itu dibuat untuk kegunaan media berbahasa Cina, Goh berkata, Thomas sepatutnya faham keadaan itu.

“Tommy Thomas menghabiskan banyak masa di Kanada. Di sana ada ramai orang yang menggunakan bahasa Cina.

“Adakah Kanada membenarkan (kenyataan media dibuat dalam bahasa Mandarin)?” katanya.

Kemudian wartawan terbabit menjawab: “Ya, mereka memang benarkan. Saya tahu sebab saya orang Kanada.”

Namun Goh tetap tidak berpuas hati. Katanya Kanada tidak akan melantik seseorang peguam negara yang tidak mampu berbahasa Inggeris.

9.20am: Anggota Majlis Tertinggi Umno Datuk Lokman Noor Adam bersama kira-kira 20 penyokong Najib dilarang memasuki kompleks mahkamah oleh anggota keselamatan.

Bercakap kepada media Lokman yang baru saja dikecewakan di Sungai Kandis berkata, apa yang berlaku hari ini menunjukkan satu lagi sikap diktator pentadbiran Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Mereka bertindak dengan sesuatu yang tak boleh diterima akan iaitu menghalang orangg awam memasuki kompleks mahkamah.

“Bukannya nak masuk kamar mahkamah, tapi nak masuk kawasan mahkamah saja,” katanya.

Menurut Lokman, kerajaan hari ini sangat terdesak untuk menunjukkan kepada orang ramai bahawa mereka benar-benar serius mendakwa Najib di mahkamah.

Turut hadir bersama Lokman ialah seorang lagi penyokong kuat Najib, pelakon Ellie Suriaty Omar.

9.11am: Najib kelihatan masuk dari arah bilik saksi dan mengambil tempat di kandang tertuduh.

Ia berlaku hanya beberapa minit selepas Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah dan anaknya Farhan Shafee serta kumpulan peguam belanya masuk.

8.55am: Peguam Rosmah Mansor, K Kumaraendran dan Geethan Ram Vincent berada di mahkamah untuk melihat prosiding berlangsung.

Turut ada di dalam kamar ialah pihak pendakwa diketuak Ketua Bahagian Perbicaraan dan Rayuan Pejabat Peguam Negara, Mohd Hanafiah Zakaria, serta timbalannya, Ishak Mohd Yusoff serta beberapa pegawai kanan lain.

Buat masa ini peguam Najib yang diketuai Muhammad Shafee Abdullah belum kelihatan.

8.49am: Akhirnya orang yang ditunggu-tunggu tiba. Najib yang datang menaiki Toyoto Vellfire putih terus menuju ke lif di tepi bangunan kompleks mahkamah.

Menyertai Najib – yang kelihatan tenang – ialah dua orang anaknya Nooryana Najwa dan Norashman.

Beliau sempat melambai ke arah wartawan serta jurugambar yang menantinya sejak pagi tadi.

Di luar ada kira-kira 20 orang penyokong beliau berkumpul bagi memberi sokongan terhadap bekas perdana menteri berkenaan.

8.30am: Petugas media sabar berkumpul menanti kedatangan Najib. Bagaimanapun keadaan terkawal.

Sebelum ini ketika Najib didakwa kali pertama beberapa jurugambar memanjat tiang bangunan kompleks mahkamah untuk mendapatkan sudut yang lebih baik bagi merakam detik berkenaan.

Anggota Majlis Tertinggi Umno yang juga bekas calon pilihan raya kecil Sungai Kandis, Datuk Lokman Noor Adam dijangka hadir untuk memberi sokongan kepada Najib.

8.05am: Pegawai bertugas mula membenarkan wartawan yang membuat liputan memasuki Mahkamah Sesyen 9. Hakim di mahkamah ini ialah Azura Alwi.

Wartawan diberikan tempat di dua barisan terakhir tempat awam.

loading...

Comments

comments

Powered by Facebook Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *