Apa yang dibimbangi sebelum ini, sudah mula nampak’

Apa yang dibimbangi sebelum ini, sudah mula nampak’

PAS beranggapan kerajaan Pakatan Harapan hari ini bersama golongan liberal dan memperjuangkan hak-hak yang jelas bertentangan dengan Islam.

Justeru, kata Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, perlu ada desakan dari umat Islam agar hak-hak Islam itu tidak terhakis tetapi sebaliknya dipertahankan.

“Sebenarnya apa yang dibimbangi sebelum ini, sudah mula nampak. Sebab faktor inilah PAS mengambil keputusan tidak bersama dengan Pakatan Harapan.

“Kita sendiri lihat, apabila menang sahaja Pakatan Harapan, sudah mula ada desakan agar gugurkan status agama dan bangsa di kad pengenalan, desakan agar JAKIM ditutup dan peranan Majlis Agama Islam dihadkan bidang kuasanya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diwawancara oleh wartawan Harakah Kedah dan disiarkan diportal Harakahdaily, hari ini.

Menurutnya, golongan liberal juga kini lantang mendesak agar maknyah-maknyah tidak boleh ditangkap, orang yang membuat maksiat di dalam bilik tidak boleh diganggu dan lain-lain yang mencabar kewibawaan Islam.

“Golongan ini ada bersama Pakatan Harapan dan mereka akan memperjuangkan hak-hak yang jelas bertentangan dengan Islam.

“Perlu ada desakan dari umat Islam agar desakan seumpama itu dapat dibendung dan PAS juga bersedia bertemu dengan kerajaan untuk membincangkan hal ini,” katanya.

Tuan Ibrahim juga mengambil contoh tindakan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal yang didakwanya menimbulkan kemarahan umat Islam dengan mengumumkan penambahan gereja dan elaun kepada paderi-paderi Kristian.

“Seharusnya sebagai sebuah negara yang meletakkan Islam sebagai agama Persekutuan, beliau sewajarnya memperbanyakkan pembinaan masjid, surau dan sebagainya dan membuat penilaian untuk memperkasakan lagi agama Islam di sana,” katanya.

Memetik kenyataan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang dilaporkan berkata, seandainya ada walau pun sebesar zarah sekali pun Islam di hati pemimpin HARAPAN, sewajarnya wajib ke atas mereka mempertahankan Islam.

“Bagi PAS kita sedia membantu melalui konsep Taawun berkaitan dasar-dasar yang akan dibuat oleh kerajaan sekiranya tidak bercanggah dengan syarak.

 

“Konsep Taawun ini sebenarnya satu pendekatan untuk memperkasakan Islam..,” katanya.

Polemik timbul apabila kerajaan HARAPAN dilaporkan mahu mengumpulkan sejumlah ilmuan Islam serta cendekiawan lain untuk membincangkan masa depan JAKIM.

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata tindakan itu sebagai melihat semula peranan badan berkenaan sama ada perlu dikekalkan seperti sekarang, atau dikembalikan kepada tujuan asal ia ditubuhkan dulu.

“Dan kita akan tentukan negara ini Islam tidak digambarkan sebagai agama yang zalim, keras dan tidak bertimbang rasa,” katanya.

JAKIM merupakan sebuah agensi utama pengurusan hal ehwal Islam di peringkat persekutuan yang melaksanaka tiga fungsi utama iaitu Penggubalan dan Penyeragaman Undang-undang Syarak,Penyelarasan Pentadbiran Islam dan Penyelarasan dan Pembangunan Pendidikan Islam.

loading...

Comments

comments

Powered by Facebook Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *