Annuar Musa: Sheila Majid Bukan Pakar Ekonomi, kenyataannya Tak Betul

Annuar Musa: Sheila Majid Bukan Pakar Ekonomi, kenyataannya Tak Betul

Kebanyakan kenyataan Sheila Majid tidak benar, memandangkan penyanyi itu bukan pakar dalam bidang ekonomi.
KUALA LUMPUR: Tan Sri Annuar Musa berkata, sebahagian besar kenyataan ratu jazz negara, Datuk Sheila Majid mengenai situasi negara tidak benar kerana beliau bukan pakar ekonomi.
“Banyak yang salah, maknanya dia banyak salah, sebab itu bukan bidang dia. Tetapi, kalau dia hendak cakap barang mahal, orang menoreh getah pun boleh cakap barang mahal,” katanya ketika ditemui di Pusat Dagangan Dunia Putra, hari ini.
Ketua Penerangan Umno itu bagaimanapun menghormati dan berjanji akan terus positif dengan respons rakyat.
“Kita kena hormat suara di luar sana, kita anggap suara rakyat yang pelbagai. Kita kena beri perhatian. Kita kerajaan kena positif,” katanya.
Semalam, Sheila mengeluh mengenai kos sara hidup tinggi dan nilai ringgit lemah di Twitternya.
“Makanan mahal, ringgit lemah, kos sara hidup tinggi & pekerjaan sukar didapati.
“Rakyat Malaysia semakin letih & marah kerana dihimpit hutang yang bukan kita cipta.

“Cukuplah beralasan & cari kesalahan. Tumpu pada tugas meletakkan negara kembali ke landasan! Mengecewakan!” demikian tulis penyanyi popular itu.
Sheila yang terkenal dengan lagu Antara Anyir Dan Jakarta dan Sinaran, bukan satu-satunya selebriti yang bercakap mengenai kos sara hidup tinggi di media sosial.
Baru-baru ini, pelakon Fathia Latiff turut mempersoalkan mengapa hanya sekarang siasatan dijalankan ke atas kerugian urus niaga mata wang asing yang dialami Bank Negara pada 1990-an.
Beliau turut menggesa siasatan dijalankan ke atas wang yang didepositkan ke akaun peribadi “individu-individu tertentu”.
Susulan itu, Pegawai Khas Perdana Menteri, Datuk Rizal Mansor mengingatkan artis supaya tidak menjadi alat pembangkang.
Katanya, berdasarkan apa yang berlaku pada pilihan raya umum 2013, golongan artis sekadar digunakan untuk ceramah dan kemudian dilupakan selepas pilihan raya.

Comments

comments

Powered by Facebook Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *