Ambil iktibar………

Ambil iktibar………

PUTRAJAYA – Datuk Seri Najib Tun Razak menyeru rakyat Malaysia mengambil ibrah (iktibar) daripada peristiwa Israk Mikraj agar dapat memberi sinergi dan semangat baharu untuk terus mempertahankan kedaulatan negara.

Perdana Menteri berkata semua rakyat perlu menyedari niat jahat Zionis yang sentiasa menyerang dan menimbulkan isu dan polemik termasuk di Malaysia.

Justeru, katanya, seluruh rakyat Malaysia perlu memastikan niat dan agenda jahat Zionis ditentang dan disekat habis-habisan kerana ia boleh menghancurkan negara.

“Jangan kita terkejut kerana ada tangan Zionis dalam beberapa pertubuhan termasuk pertubuhan politik yang mahukan kemenangan kerana bercita-cita untuk menguasai negara.

“Kita tidak rela negara tanah tumpah kita digadaikan oleh mereka yang tiada rasa cintakan negara,” katanya semasa berucap pada majlis sambutan Israk Mikraj Peringkat Kebangsaan 2018/1439 Hijrah di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, di sini, malam ini.

Menyentuh mengenai usaha untuk membebaskan Masjid Al-Aqsa dan Palestin daripada cengkaman Zionis, Najib berkata umat Islam di seluruh dunia yang kini mencecah 1.8 bilion perlu bersatu-padu dan mengelakkan perpecahan.

“Umat Islam mewakili suara besar di pentas antarabangsa namun jumlah yang besar itu tidak mendatangkan kekuatan andainya kita sering bertelingkah, fitnah memfitnah dan berperang serta bertelagah sehingga mengundang perpecahan.

“Dalam Islam, berbeza pendapat dibenarkan bagaimanpun perpecahan umat amat dilarang kerana kesannya boleh menghancurkan negara,” katanya.

Oleh itu, katanya, langkah tuntas perlu diambil dalam usaha mewujudkan perdamaian susulan unjuran terbaru menjangkakan umat Islam akan mencecah tiga bilion orang pada 2050.

Majlis anjuran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dengan kerjasama Yayasan MyAQSA itu julung kali diadakan bagi mendekatkan lagi Masjid Al-Aqsa sebagai masjid ketiga paling suci bagi umat Islam dengan hati dan sanubari rakyat Malaysia.

Tetamu khas pada majlis tersebut ialah Imam Besar Masjid Al-Aqsa, yang juga bekas Mufti Palestin, Sheikh Dr Ekrima Saed Sabri. – Bernama

loading...

Comments

comments

Powered by Facebook Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *