Ketum sebagai ubat baru penahan sakit dan juga rawatan penagihan dadah.

Ketum sebagai ubat baru penahan sakit dan juga rawatan penagihan dadah.

UNIVERSITI Sains Malaysia (USM) masih menjalankan kajian mengenai potensi tumbuhan ‘Mitragyna Speciosa’ atau ketum sebagai ubat baru penahan sakit dan juga rawatan penagihan dadah.

Penyelidikan yang diketuai Prof Dr Sharif Mahsufi Mansor itu juga turut menjalankan usaha bagi membangunkan ubat baru terhadap jangkitan kulat sistemik yang kemungkinan berlaku kepada penagih dadah yang dijangkiti HIV.

Sharif berkata, kajian yang dijalankan terhadap ketum sejak 1960an sehingga kini sudah mengenalpasti sebanyak 57 sebatian daripada pelbagai spesis Mitragyna malah daripada jumlah itu, terdapat 37 jenis alkaloid unik bagi ketum dan alkaloid utama bagi daun ketum ialah mitraginina.

Katanya, hasil kajian mendapati mitraginina pada ketum adalah tidak sama dengan morfina namun kajian terperinci perlu dilakukan bagi melengkapi maklumat berkaitan dengan ketagihan dan keselamatan jangka panjang.

“Didapati ketum bukanlah opiat (narkotik), justeru kajian klinikal diperlukan bagi mengesahkan kegunaan ketum sebagai ubat penahan sakit baru selain sebagai ubat bagi rawatan ketagihan dadah.

“Namun kajian yang kami jalankan sejak 2007 itu menemui ubat antikulat baru (CDR2) yang difailkan oleh USM pada 2016 bagi rawatan jangkitan kulat sistemik seperti aspergilosis dan permohonan itu sedang menanti kelulusan daripada Perbadanan Harta Intelek (MyIPO),” katanya ketika ditemui di Majlis Syarahan Umum Ketum (Mitragyna Speciosa): Sejarah Penggunaan dan Penemuan Terkini di USM, hari ini.

Menurut Sharif, sejak akhir-akhir ini permintaannya meningkat di Eropah dan Amerika Syarikat bagi mengatasi kesakitan secara kendiri, gejala penarikan opiat serta sebagai dadah rekreasi.

Keadaan ini membimbangkan berikutan maklumat saintifik mengenai ketum adalah terhad dan mendorong pihak berkuasa regulatori bagi memantau potensi kebaikan dan kesan ketoksikannya.

Terdapat beberapa kes kematian membabitkan penggunaan ketum, namun insiden itu menunjukkan mereka mengambil ketum dengan bahan lain seperti dadah, benzodiazepina, alkohol dan ubat-ubatan lain.

“Terdapat sekumpulan pengguna ketum yang sengaja menyalahgunakan tumbuhan itu seperti yang dipaparkan menerusi media dan kegiatan mereka memberi persepsi negatif kepada penggunaan ketum.

“Mungkin pada masa akan datang, USM dapat bekerjasama dengan agensi penyelidikan yang lain, seperti Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) bagi mencari baka ketum yang terbaik di Malaysia berkaitan hasil kajian ini,” katanya.

loading...

Comments

comments

Powered by Facebook Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *