Bangsa Johor Bukanlah Omong Kosong

 

Sekadar Gambar Hiasan

 

 

ISTILAH Bangsa Johor yang diguna pakai sejak sekian lama bukanlah satu rujukan yang direka namun ia telah termaktub dalam Undang-Undang Tubuh Negeri Johor (Perlembagaan Johor) sebagai memberikan makna yang mendalam dalam diri setiap rakyat negeri ini.

Menurut Ahli Jawatankuasa Perpaduan dan Sumber Manusia, R Vidyananthan, perkataan Bangsa Johor sememangnya sinonim dengan rakyat di negeri ini kerana ia wujud sebelum Perlembagaan Persekutuan.

Beliau berkata, menerusi istilah Bangsa Johor rakyat di negeri ini hidup dalam keadaan aman dan mampu memupuk semangat perpaduan walaupun berbilang bangsa sama ada Cina, Melayu dan India.

“Rakyat di negeri ini mempunyai semangat kenegerian yang menebal kerana telah sedia ada dalam diri dan sanggup mempertahankan negeri sekiranya ada pihak yang mengusik negeri ini.

“Semangat itu sememangnya wujud kerana apabila dilahirkan menjadi anak Johor secara automatiknya mereka mempunyai semangat kenegerian yang tinggi dan ianya berbeza dengan negeri-negeri lain,” katanya.

Celik sejarah, asal usul Johor

Vidyananthan yang juga Adun Kahang berkata, faktor kedua yang mampu memupuk semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat Johor adalah setiap rakyat di negeri ini mengetahui sejarah dan asal usul Johor.

Katanya, bukan itu sahaja negeri ini juga mempunyai perlembagaan undang-undang yang berbeza dengan negeri lain.

“Perlembagaan negeri Johor tidak sama dengan negeri lain kerana negeri ini mempunyai berbilang kaum yang dianggap semua kaum itu adalah Bangsa Johor.

“Itulah keistimewaan negeri ini yang tidak pernah membezakan antara satu kaum dengan kaum yang lain kerana kita berada dalam satu perlembagaan undang-undang yang telah digubal khas untuk semua kaum.

“Sejak dari dahulu sehingga kini semua kaum yang terdapat dalam negeri ini hidup bersatu padu dan berlindung di bawah satu Sultan yang berjiwa rakyat,” katanya.

Bola sepak pupuk perpaduan

Sejak kebelakangan ini semangat JDT dalam arena bola sepak telah menebalkan lagi semangat kenegerian dalam kalangan rakyat Johor.

Menurut Vidyananthan, semangat yang ditunjukkan oleh rakyat Johor sangat luar biasa ditambah dengan kecemerlangan pasukan bola sepak itu.

Katanya, kemenangan yang diperoleh secara langsung telah mewujudkan semangat perpaduan antara kaum di negeri kerana semua rakyat meraikannya bersama-sama.

“Kejayaan yang diperoleh itu telah menjadikan rakyat Johor bangga dan mampu bermegah dengan kemampuan pasukan JDT.

“Semua kemenangan yang diperoleh akan diraikan bersama rakyat jelata itulah Bangsa Johor yang ada di negeri ini.

“Bukan sahaja dari segi sukan malah dari segi ekonomi, pembangunan di Iskandar Malaysia , semuanya diberi keutamaan kepada rakyat yang mana semua rakyat merasainya.

“Setiap apa yang diusahakan oleh kerajaan negeri secara tidak langsung akan melibatkan rakyat di negeri,” katanya.

Vidyananthan berkata, kerajaan negeri yang mempunyai barisan exco yang berkaliber dan ‘pro rakyat’ bagi memastikan Johor menjadi sebuah negara yang maju.

Terap konsep muafakat Johor

Menerusi Muafakat Johor yang diperkenalkan ianya diwujudkan bertujuan menaikkan semangat orang Johor supaya mereka mempunyai semangat kenegerian yang tinggi.

Vidyananthan berkata, program yang dilaksanakan oleh Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional itu secara langsung mahu wujudkan rakyat Johor yang rasa megah mereka dilahirkan sebagai anak Johor.

“Saya mahu sematkan dalam diri semua anak Johor dengan semangat cintakan negeri yang mana menerusi program Muafakat Johor kita dapat satukan rakyat Johor di bawah satu platform Muafakat Johor.

“Menerusi program yang telah dilaksanakan itu semua rakyat Johor mampu ketepikan politik kebencian dan bergabung menggembleng tenaga serta jadikan Johor sebuah negeri yang aman dan membangun,” katanya.

Vidyananthan berkata, konsep yang diperkenalkan itu mampu dikekalkan dan diperluas kepada generasi yang akan datang.

“Apa yang penting sebagai anak Johor kita harus berbangga dan sentiasa kekalkan permuafakatan yang telah wujud sejak dahulu lagi,” katanya.

loading...

Comments

comments

Powered by Facebook Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *