Wanita itu tak cium saya, jangan ganggu dia, titah Sultan Johor

BANGI, 23 Zulhijjah 1438H, Khamis – Sultan Johor Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar menitahkan orang ramai supaya tidak menganggu wanita yang didakwa cuba memeluk dan mencium baginda Isnin lalu.

Dalam satu kenyataan yang dimuat naik dalam Facebook baginda hari ini, Sultan Ibrahim menegaskan bahawa wanita itu tidak mencium baginda sebagaimana yang jelas kelihatan dalam rakaman video.

Kejadian itu berlaku ketika konvoi diraja singgah di Bandar Baru Ayer Hitam sempena Kembara Mahkota Johor 2017.

“Beliau cuba berkata sesuatu di telinga kiri saya tetapi saya tidak dapat mendengar kerana keadaan persekitaran yang bising,” titah baginda kepada Royal Press Office di Istana Pasir Pelangi, Johor Bahru, hari ini.

Sultan Ibrahim bertitah, wanita itu tidak melakukan apa-apa kesalahan jenayah dan meminta polis supaya lebih bijaksana dalam mengendalikan kes ini.

Kejadian pada jam 8.45 pagi itu dipercayai berlaku di hadapan sebuah restoran makanan segera ketika Sultan Ibrahim berangkat tiba di Taman Medan Putra, Ayer Hitam sempena program Kembara Mahkota Johor 2017.

Wanita itu didakwa memeluk bahu kanan dan cuba mencium pipi kiri Tuanku Sultan, sebelum ditahan pihak polis untuk diambil keterangan berhubung tindakannya dan siasatan masih dijalankan.

loading...

Comments

comments

Powered by Facebook Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *