Kerana Masyarakat.. Kami Terpaksa

Kerana Masyarakat.. Kami Terpaksa

DI kala kanak-kanak seusianya berada di bangku sekolah menelaah pelajaran, namun berlainan dengan dirinya yang terpaksa mencari wang sendiri dengan mengutip botol dan tin dalam tong sampah setiap hari untuk menyara kehidupan dia bersama ibunya demi sesuap nasi.

Namun, Muhammad Haiqal Danial Muhamadan, 11, tidak pernah kenal erti penat kerana apa yang dilakukannya itu semata-mata untuk membantu ibunya, Noramydia Mohd Nasir, 41, yang menghidap penyakit asma sejak beberapa tahun lalu.

Kanak-kanak itu yang tidak pernah bersekolah sanggup keluar berjalan dari tempat tinggalnya di belakang kilang kopi di Tandop, Alor Setar seawal 7 pagi hingga 7 malam ke kawasan berhampiran untuk mengutip tin dan botol dari dalam tong sampah sebelum menjualnya di kedai besi buruk, setiap hari.

Kisah kanak-kanak itu mengutip tin dan botol pada setiap malam tular di laman sosial semalam dan mendapat simpati daripada netizen disebabkan kesungguhannya mencari rezeki bagi mencari wang untuk membantu ibunya yang sakit.

Malah, ramai yang membantu menghulur makanan kepada kanak-kanak itu di tempat memungut sampah di sebuah kompleks beli-belah di Alor Setara, ketika orang lain sedang berbuka puasa.

Hasil tinjauan NSTP ke kediamannya mendapati, dua beranak itu menumpang berteduh di rumah banglo separuh siap yang ditinggalkan sejak beberapa tahun lalu dengan keadaan kotor dan semak samun selain hanya beralaskan kain untuk menutup ruang yang dijadikan tingkap.

Selain itu, bahagian dalam rumah itu tidak terurus malah mereka terpaksa menyalakan unggun api untuk memasak makanan di dalam kediaman dikelilingi hutan itu.

Menurut Noramydia, dia terpaksa melepaskan anak tunggalnya keluar bekerja kerana masalah kesihatan dialaminya, namun turut membantu kanak-kanak itu menyusun botol dan tin yang dibawa pulang ke rumah itu sebelum dijual dengan bantuan rakannya yang berusia 40-an.

Katanya, mereka berpindah ke rumah banglo itu sejak lima hari lalu kerana desakan hidup selepas tidak mampu menyewa rumah lain akibat tiada wang untuk membayar deposit.

“Saya terpaksa…walaupun rumah banglo ini pernah menjadi port penagihan dadah dan serba serbi tidak lengkap, malah ruang yang sempit inilah kami berdua tidur dengan beralaskan tikar plastik serta bantal.

“Walaupun bimbang kehadiran ular dan sebagainya, kami terpaksa hidup dalam keadaan merempat seperti ini sejak kematian suami pada 2012 akibat penyakit tibi.

“Sebelum ini saya menetap di sebuah rumah kosong di Jalan Pegawai, tetapi terpaksa keluar mencari tempat lain kerana bimbang masyarakat memandang serong dengan kehidupan kami dua beranak,” katanya ketika ditemui di rumahnya itu, hari ini.

Noramydia berkata, dia tidak tahu kisah anaknya itu tular dalam laman sosial sehinggalah dimaklumkan ahli keluarganya menyebabkan anak lelakinya malu untuk keluar rumah hari ini kerana bimbang diejek orang ramai.

Katanya, anaknya itu seorang yang hiperaktif dan dia sering memberontak apabila kehendaknya tidak dipenuhi menyebabkan dia terpaksa merelakan anaknya keluar mencari tin dan botol kosong setiap hari.

“Saya pernah larang dia, tetapi dia marah sambil menangis kerana dia minat melakukan aktiviti itu (mencari botol dan tin) selain memberontak jika saya marah padanya.

“Disebabkan bimbang dia melarikan diri dan tidak pulang ke rumah, saya izinkan dia pergi tetapi ke kawasan berhampiran dengan rumah kerana bimbangkan keselamatannya kalau dia pergi jauh,” katanya.

Noramydia berkata, walaupun anaknya tidak mendapat pendidikan sejak kecil kerana sijil kelahirannya hilang, kanak-kanak itu boleh mengenal huruf kerana dia pernah mengajar Muhamad Haiqal.

Katanya, pendapatan hasil menjual tin dan botol kosong sebanyak RM30 sehari itu digunakan untuk membeli makanan, malah ada juga peniaga kedai makan yang kasihan melihat kehidupan mereka sanggup sedekahkan makanan untuk mereka berbuka puasa.

loading...

Comments

comments

Powered by Facebook Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *