Isteri, anak bekas pegawai KBS miliki RM1.5 juta dalam akaun TH

Buku-buku akaun Lembaga Tabung Haji (TH) yang mengandungi simpanan berjumlah RM1,503,401.74 milik isteri dan dua anak bekas pegawai kanan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dikemukakan di Mahkamah Sesyen hari ini sebagai barang bukti pada perbicaraan kes lelaki itu, yang menghadapi 32 pertuduhan salah guna kedudukan dan mengemukakan tuntutan palsu membabitkan RM38.4 juta.

Ketiga-tiga buku akaun TH itu dikemukakan oleh Ketua Penolong Kanan Penguasa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Asmawi A/L Kulup Lam ketika pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya SPRM Amer Abu Bakar Abdullah pada perbicaraan kes itu.

Asmawi, yang merupakan saksi pendakwaan ke-49, berkata berdasarkan buku akaun TH milik Mastura Annuar, 58, (isteri Otman), wanita itu didapati mempunyai simpanan sebanyak RM1,320,641.31 dan transaksi kali terakhir ialah pada 21 Feb 2016.

“Sementara itu, dua lagi buku akaun Tabung Haji milik anak Otman masing-masing mempunyai simpanan sebanyak RM91,282.32 dan RM91,479.10 dengan transaksi akhir pada 21 Feb 2016,” katanya yang turut mengemukakan seutas tasbih mutiara putih sebagai barang bukti.

Pada prosiding di sebelah pagi, Asmawi mengemukakan dua keping invois pembelian dua utas jam tangan mewah jenama Cartier iaitu model Ballon Bleu De Cartier yang berharga RM105,000 dan model Rotonde Astrotourbillon yang berharga RM432,000 dengan kedua-dua jam itu masing-masing dibeli pada 2 Jan 2011 dan 7 Jan 2012.

Turut dikemukakan sebagai barang bukti ialah sijil pengesahan gambar panorama berbingkai bertajuk ‘Tree of Serenity’, 32 butir butang Baju Melayu yang antaranya adalah dari Itali serta dan dua ‘watch winder’ jenama Richard Mille.

Pada 21 April 2016, Otman, 59, yang diwakili peguam Muhammad Rafique Rashid Ali, didakwa atas 64 pertuduhan menerima wang berjumlah RM16,623,000 hasil kegiatan haram dalam akaun Maybank, RHB dan CIMB Berhad melalui cek antara 7 Mac 2012 hingga 11 Dis 2015.

Selain Otman, pengarah syarikat pembekal barangan sukan di bawah KBS, Abdul Gafar Abdurahiman, 44, dan isterinya Siti Rohanah Hussien, 44, suri rumah, masing-masing berdepan 63 pertuduhan memindahkan wang berjumlah RM15,723,000 yang merupakan hasil daripada aktiviti haram menerusi 63 transaksi dari akaun bank tiga syarikat milik mereka ke akaun bank milik Otman bagi tempoh masa yang sama.

Kesemua mereka didakwa melakukan kesalahan itu di beberapa lokasi berbeza antaranya RHB Bank cawangan Presint 8, Putrajaya, Menara Maybank Jalan Tun Perak dan Maybank Jalan Raja.

Otman, Abdul Gafar dan Siti Rohanah didakwa mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 (AMLATFA) yang membawa hukuman denda maksimum RM5 juta atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-keduanya, jika sabit kesalahan.

Mereka juga didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan Dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFAPUAA) yang membawa hukuman penjara sehingga 15 tahun atau boleh juga didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram, jika sabit kesalahan.

Abdul Gafar dan Siti Rohanah diwakili peguam Datuk Seri Jahaberdeen Mohamed Yunoos.

Perbicaraan di hadapan Hakim Azura Alwi bersambung esok.

loading...
TwitterFacebookGoogle+Share

Comments

comments

Powered by Facebook Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *