‘Hanya 0.9 saat bezakan Hafizh, Rossi’

‘Hanya 0.9 saat bezakan Hafizh, Rossi’

JURANG masa 0.9 saat dengan penghuni petak hadapan di Grand Prix (GP) Itali menjadikan pelumba MotoGP negara, Hafizh Syahrin Abdullah begitu positif untuk mengharungi perlumbaan di Litar Mugello, esok.

Pelumba Monster Yamaha Tech3 itu mencatat 1’47.188s manakala juara dunia tujuh kali, Valentino Rossi (Movistar Yamaha MotoGP) menyambar petak pertamanya bagi musim ini dengan catatan, 1’46.208s.

“Saya sangat gembira dengan sesi kelayakan di Mugello,” kata Hafizh.

“Saya meraih keputusan yang sama di Le Mans iaitu petak ke-14 tetapi (Franco) Morbidelli yang sedang mendahului carta muka baharu (MotoGP) menduduki petak ke-12, yang bagi saya tidak begitu jauh.

“Saya juga sangat hampir dengan catatan pendahulu, hanya 0.9 saat dan ia membanggakan saya. Ini adalah sesi kelayakan terbaik saya setakat ini kerana ia kurang daripada satu saat berbanding petak hadapan.

“Untuk perlumbaan, saya akan cuba mendapatkan permulaan yang baik dan meletakkan sasaran untuk berada lebih hampir dengan kelompok depan memandangkan kelajuan saya tidak begitu jauh dengan mereka.

“Trek ini panjang, sekiranya kamu mengikut seorang pelumba, kamu boleh mengambil peluang untuk catatan masa sepusingan yang lebih pantas tetapi apapun, saya sudah melakukan catatan yang baik dan saya berpuas hati dengan keputusan ini.

“Terima kasih kepada pasukan kerana dari pagi tadi, kami sangat pantas dan saya akan memberikan yang terbaik untuk meraih seberapa banyak mata yang mungkin esok.”

Pencabar terdekat Hafizh dalam carta muka baharu pelumba MotoGP, Morbidelli bakal memulakan saingan dari petak ke-12 apabila mencatat 1’47.002s.

loading...

Comments

comments

Powered by Facebook Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *