Cukai Baru : Inheritance Tax atau Cukai Pusaka?

Cukai Baru : Inheritance Tax atau Cukai Pusaka?

Ramai yang sedang hangat membahaskan tentang MRT2, tetapi ada satu perkembangan lain yang berpotensi memberi kesan besar kepada lebih ramai orang, iaitu Inheritance Tax atau Cukai Pusaka.

Cukai ini dicadangkan oleh pakar ekonomi Joseph Stiglitz selepas pertemuannya dengan Tun Dr Mahathir dan semalam Tun Dr M umumkan akan mengenakan ‘bentuk-bentuk cukai baru’ di persidangan Malaysia A New Dawn.

Bayangkan anda pencari nafkah utama dalam keluarga dengan anak-anak yang masih membesar. Kemudian anda meninggal dunia meninggalkan rumah kediaman (yang akan dilunaskan hutangnya dengan MRTA/MRTT). Anda juga mempunyai simpanan KWSP yang sederhana.

Keluarga anda telah kehilangan sumber pendapatan utama. Tetapi mereka perlu membayar cukai pusaka ini sebelum dapat menukar nama rumah tersebut.

Jadi wang tunai peninggalan perlu digunakan untuk menjelaskan cukai pusaka terlebih dahulu sebelum pembahagian harga boleh dibuat.

Untuk terus memiliki rumah, keluarga anda perlu membayar cukai atas rumah yang mungkin tinggi nilainya, lantas mengurangkan ‘available cash’ untuk sara hidup.

Ini sudah tentu menjadi beban tambahan kepada keluarga yang sudah kehilangan punca pendapatan utama.

Malah proses pembahagian pusaka sudahlah kompleks, inikan pula ditambah pula dengan beban cukai yang akan menambahkan kerumitan dan tempoh masa proses pentadbiran harta.

Jangan ingat ini kes terpencil kerana situasi di atas mungkin mewakili sebahagian besar daripada golongan kelas pertengahan jika pencari nafkah utama dalam keluarga meninggal dunia.

Malah jika kerajaan meletakkan ‘threshold’ harta tertentu untuk dikenakan cukai, iaitu cukai dikenakan untuk kelas golongan pertengahan atas atau kaya sahaja, saya dapat bayangkan banyak kerumitan yang mungkin menyebabkan waris mereka jatuh ke kelas sederhana.

Perkara kedua ialah adakah ia patuh syariah? Apabila seorang Islam meninggal dunia, kaedah pembahagian harta telah ditetapkan oleh Allah dan kita hanya boleh mewasiatkan satu pertiga atau menetapkan harta sepencarian.

Tiada peruntukan bagi kerajaan ambil dulu sebelum pembahagian dibuat. Hanya dalam kes tertentu sahaja terdapat bahagian untuk Baitul Mal.

Kita juga tidak boleh kategorikan cukai ini sebagai hutang yang perlu dibayar kepada kerajaan kerana hutang ialah liabiliti yang timbul sebelum orang tersebut meninggal dunia dan bukannya selepas dia pergi.

Pada pendapat saya, Inheritance Tax bukan Good Tax seperti kata Stiglitz. Nampak cantik di peringkat makro tetapi akan menimbulkan masalah kepada rakyat di peringkat pelaksanaan dan akar umbi.

Saya menentang dengan tegas cukai ini. Nak cukai semasa masih hidup cukailah. Tak kisahlah GST, SST, RPGT atau CGT. Tapi jangan menyusahkan waris apabila kita sudah mati.

Update: Ramai yang tanya dalam komen ‘bila dia umum?’. The Star melaporkan bahawa Dr Mahathir mencadangkan bentuk-bentuk cukai baru dan dua daripadanya yang disebut oleh pakar ekonomi Joseph Stiglitz selepas pertemuan dengan Dr Mahathir ialah Inheritance Tax dan Capital Gains Tax. Artikel ini bertujuan menunjukkan potensi kesannya jika cukai ini dikenakan. Matlamatnya ialah memastikan cukai ini langsung tidak dikenakan atau dikenaan ke atas yang super kaya sahaja. Lihat gambar muka depan The Star dalam ruangan komen.

Update II: Ada yang tanya kenapa ulas sebelum dia umum secara rasmi. Isu ini cukup serius untuk di’highlight’ dalam dua akhbar utama. Kita perlu nyatakan pendapat sebelum diumumkan dalam bajet. Kalau selepas umum baru nak bantah memang tiada gunanya.
———————-
Sumber Facebook Razali Razman
Layari www.razalirazman.com untuk artikel, ebook, risalah percuma dan perkhidmatan saya.

loading...

Comments

comments

Powered by Facebook Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *