Bangsa Johor buat aksi fast and furious lari Dari polis

POLIS Seri Alam menahan enam remaja lelaki berusia 13 hingga 18 tahun susulan tindakan mereka memandu kereta dalam keadaan berbahaya bagi mengelak ditahan polis di Pasir Gudang, Johor, semalam.

Dalam kejadian 3.15 petang itu, semua remaja lelaki yang menaiki sebuah kereta itu berjaya ditahan selepas kenderaan berkenaan terbabas dan melanggar pokok di Jalan Pekeliling, Tanjung Langsat.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Jokhiri Abd Aziz berkata, kejadian berlaku apabila dua anggota polis dari Unit Rondaan Bermotosikal (URB) cuba menahan kereta suspek yang dilihat mencurigakan.

Beliau berkata, pemandu kereta itu bagaimanapun memecut lari dengan memandu secara melulu.

“Sebaik tiba di Jalan Gangsa 1, kereta itu melanggar sebuah motosikal dinaiki dua individu menyebabkan salah seorang mangsa cedera ringan.

“Bagaimanapun kereta suspek masih tidak berhenti dan terus dikejar polis,” katanya.

Dia berkata kereta itu kemudian terbabas dan melanggar sebatang pokok di pembahagi jalan sebelum enam remaja diberkas.

Katanya, siasatan polis mendapati kejadian berpunca pemandu kereta yang tidak mempunyai lesen memandu.

Siasatan masih dijalankan mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas dan Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu dengan melulu dan merbahaya.

Gambar penahanan semua suspek turut menjadi tular di media sosial selepas kejadian.

loading...

Comments

comments

Powered by Facebook Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *